15 Nov 2009
MAZNAH Rais menyampaikan hadiah kepada Aina Suzaily M. Zailanny, johan pertandingan Penyampai Ikon 2009 di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.Menonjolkan keyakinan diri yang tinggi dalam menyampaikan dua tugasan, sebagai penyampai berita dan laporan lokasi tentang gempa bumi di Padang, Indonesia, membolehkan Aina Suzaily membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Proton Saga BLM 1.3 serta wang tunai RM6,000.
Beliau turut menerima sijil penyertaan daripada Institut Akhbar Malaysia (IAM) dan trofi yang disampaikan oleh isteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Masnah Rais.
Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya dan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf.
Pencabar terdekat, Siti Aisyhah Baslie, 24, dari Kuching, Sarawak, bagaimanapun hanya berpuas hati di tempat kedua dengan menerima hadiah berupa wang tunai RM4,000, trofi serta sijil penyertaan daripada IAM.
Tempat ketiga, milik peserta dari Perak, Khairul Faizi Dalaiil, 23, yang memenangi hadiah berupa wang tunai RM2,000, trofi serta sijil penyertaan daripada IAM.
Tiga lagi peserta yang turut memberikan saingan ialah Beatrice Khrishnan, 23, Mohamed Shahril Sarapudin, 21, dan Hazel Desmond, 26.
Juri pada pertandingan itu ialah pensyarah di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah yang juga ketua juri, Ketua Pegawai Eksekutif IAM, Datuk Chamil Wariya dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.
"Saya gembira dengan kemenangan ini, tidak dijangka kerana semuanya memberi saingan sengit, tetapi ini adalah keputusan juri profesional.
"Sebenarnya, saya anggap ini adalah rezeki daripada Allah dan tanpa restu ibu bapa, saya tidak mungkin akan menyertai program ini" katanya ketika ditemui selepas program itu.
Enam peserta akhir Penyampai Ikon adalah antara 17 peserta rancangan itu yang disenarai pendek daripada lebih 6,000 peserta yang hadir di peringkat uji bakat.
Mereka turut menjalani pengajian di Kolej Penyampai Ikon dalam bidang kewartawanan siaran anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak 12 Ogos lalu.
Konsultan persembahan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Yusanani Yushak bertindak sebagai pengetua Kolej Penyampai Ikon serta penerbit eksekutif program tersebut.
Sementara itu, penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Normazalina Mohd. Nor bertindak sebagai pembantu serta penyelia Kolej Penyampai Ikon.
Majlis yang disiarkan secara langsung di TV2 itu diserikan dengan persembahan daripada peserta Penyampai Ikon serta artis undangan, Lan and The Typewriter, Alyah dan Dayang Nurfaizah.
0 comments:
Post a Comment